Sunday, December 26, 2010

Riba jahiliah masih ada

DI ZAMAN Islam datang menyinari dunia kegelapan masyarakat jahiliah di tanah Arab, banyak amalan yang dilaksanakan mereka dihapuskan oleh Rasulullah SAW bermula daripada kehidupan seharian hinggalah membabitkan hubungan komunikasi dalam masyarakat.

Bagaimanapun, tidak semua amalan jahiliah itu dibuang terus, sebaliknya sebahagiannya diterima Islam namun dengan beberapa pengubahsuaian., sebagai contoh sistem perhambaan, peperangan, penggunaan wang emas dan perak sebagai mata wang, ‘Aqilah' dalam kes bunuh, qur'ah (cabut undi), jualan muzayadah (lelong) dan banyak lagi.

Semua yang disebut di atas diterima pakai oleh Islam tetapi beberapa sekatan dan pindaan dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW agar ia selari dengan kehendak Islam, supaya tidak terlalu asing dan paling utama selesa dilaksanakan oleh manusia seluruhnya.

Bagaimanapun,Pada masa sama banyak juga amalan jahiliah yang dibuang terus dan digantikan dengan satu sistem baru yang murni lagi adil dan ada antaranya pula diubah suai dengan beberapa langkah alternatif. Daripada senarai panjang itu, amalan jahiliah yang diharamkan terus dan disediakan alternatif salah satunya adalah 'riba jahiliah'.

Menurut definisi, riba jahiliah adalah sebarang manfaat atau kadar tambahan yang lebih daripada jumlah pinjaman pokok dikenakan ke atas peminjam akibat kegagalan membayar jumlah pinjaman yang ditetapkan di dalam tempoh dipersetujui.

Hasil daripada kelewatan itu pemberi pinjaman memberikan kata dua iaitu melangsaikan hutang serta merta atau satu kadar bunga akan dikenakan bagi memanjangkan tempoh pembayaran semula. Kadar bunga itu boleh dianggap sebagai denda.

Riba jenis ini amat popular di zaman jahiliah dan berterusan di zaman Rasulullah SAW sehinggalah diharamkan oleh baginda. yang bersabda: “Ketahuilah, semua jenis riba telah dihancurkan, dan riba yang pertama aku hancurkan adalah riba yang bapa saudaraku, Abbas bin Abd Muttalib, semuanya kini telah dihancurkan.” (Riwayat Ibn Hibban, At-Tirmizi) Contoh semasa riba jahiliah yang boleh dilihat adalah:

1. Apabila pelanggan gagal membayar hutangnya kepada bank atau pemberi pinjam pada bulan tertentu seperti tiga bulan berturut-turut, pelanggan dikenakan denda atau penalti sebanyak tiga peratus dari jumlah hutang yang berbaki.

2. Apabila peminjam buku di perpustakaan gagal memulangkan buku pada waktunya, pihak perpustakaan mengenakan denda RM5 setiap hari yang lewat, ini juga satu bentuk riba. Justeru, jangan sesekali lewat memulangkan buku sehingga dikenakan denda riba. Undang-undang ini turut digunakan oleh hampir seluruh perpustakaan di seluruh dunia termasuk di pusat pengajian tinggi Islam yang nyata menunjukkan kurang peka di dalam hukum.

3. Bagi mereka yang dikenakan saman atas kesalahan meletak kenderaan di tempat yang salah, atau lain-lain kesalahan memandu, pihak pemandu diberikan nilai saman mengikut minggu. Contohnya, jika dibayar dalam tempoh 14 hari, nilai saman adalah RM15, jika melebihi 30 hari, nilai saman naik kepada RM40 dan seterusnya. Semua cara kiraan ini tergolong di dalam riba Al-Jahiliyyah.

Disebabkan ini, mungkin akan ada pihak yang keliru dan mempersoalkan cara sesuai untuk mengelakkan peminjam melewatkan pembayaran dan pemulangan buku.

Bagaimanapun, topik ini sudah dibincangkan panjang lebar oleh para ulama sedunia, dan pandangan yang sepakat oleh majoriti ulama sedunia adalah hukuman yang dikenakan bagi pesalah yang sengaja melewatkan pemulangan dan segala jenis hukuman tidak ditentukan dalam bentuk mata wang tetapi lain-lain bentuk. seperti didenda tidak boleh memasuki perpustakaan selama dua bulan, dirampas pasport, disenarai hitam dan sebagainya.

Jika ia membabitkan denda dalam bentuk wang, terdapat beberapa ijtihad di kalangan ulama semasa yang akan disebutkan di bawah.

Jadi, bagaimana pula konsep dalam perbankan Islam? Dalam konsep perbankan Islam, mereka turut mengenakan sejumlah wang sebagai ganti rugi atau denda. Jumlah ini sebenarnya dianggap sebagai bayaran kos rugi (ta'widh atau compensation) yang dihadapi oleh bank akibat pelanggan tidak membayar hutangnya kepada bank dalam waktu yang dijanjikan. Oleh itu, pembaca perlu membezakan bayaran ganti rugi yang dikenakan oleh bank Islam dengan penalti oleh bank konvensional.

Ganti rugi yang dikenakan oleh bank Islam adalah terhasil daripada proses jual beli dengan bayaran ansuran yang dijanjikan pada waktunya. Manakala penalti bank konvensional adalah hasil daripada kontrak pinjaman semata-mata.

Menurut sebahagian ulama seperti Syeikh Mustafa Az-Zarqa, Syeikh Muhammad Sadiq Ad-Dharir, Sheikh Abdullah Mani', Majlis Penasihat Syariah Bank Islam Jordan dan Fatwa Persidangan dallah Al-Barakah, keharusan itu berdasarkan ‘Maslahat Mursalat'.

Jadi, tindakan mengenakan ganti rugi itu adalah harus bagi menyekat orang ramai mempermainkan bank-bank Islam dengan sengaja tidak membayar atau melewatkan bayaran walaupun ketika mempunyai wang. Ia dinamakan 'mumatil' yang disebut oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: "Penangguhan sengaja (daripada membayar hutang) oleh orang yang berkemampuan adalah satu kezaliman.” (Riwayat Al- Bukhari) Manakala, hadis sahih diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasaie, Ibn Hibban pula menyatakan: “Bagi orang berkemampuan dan melewatkan hutang adalah zalim, halal ke atas mereka dihukum.

Kedua-dua hadis itu menunjukkan haram hukumnya melewatkan pembayaran hutang bagi mereka yang ada kemampuan. Malah terdapat riwayat silam yang menunjukkan pemerintah Islam pernah mengurung individu sebegini sehinggalah ia membayar hutangnya. Ringkasnya, hukuman seperti disenarai hitamkan nama, dirampas pasportnya, dirampas hartanya dan dijual untuk menyelesaikan hutang adalah dibenarkan oleh Islam.

Namun, untuk bertindak sedemikian dalam konteks semasa, sudah tentu ada di antaranya yang sesuai, manakala tidak sebahagian lainnya.

Justeru itu, memandangkan lemahnya sifat amanah manusia untuk membayar hutang mereka dan bagi menyekat mudarat besar daripada berlaku kepada bank-bank Islam dan juga pemiutang, apabila bayaran ansuran yang dijanjikan tidak dilangsaikan pada waktunya, maka ta'widh (ganti rugi) akan dikenakan.

Sebahagian ulama mengharuskan jumlah ganti rugi itu dibayar dalam bentuk wang, digunakan oleh bank dengan syarat ia adalah jumlah sebenar kerugian. Jadi, sebarang wang lebih daripada kerugian sebenar tidak boleh digunakan oleh bank-bank Islam. Manakala, sebahagian besar ulama lain berpendapat bahawa ta'widh yang dikenakan oleh bank-bank Islam ini (menurut majoriti ulama sedunia) adalah tidak boleh dimasukkan di dalam pendapatan bank Islam, malah mestilah diagihkan untuk tujuan kebajikan kepada orang miskin dan fakir saja. Bagi beberapa buah bank Islam, mereka lebih cenderung untuk menuruti keputusan majoriti ahli Majlis Kesatuan Fiqh Sedunia. Konsep yang digunakan adalah konsep sedekah duit (ta'widh) kepada fakir miskin adalah dibuat atas konsep 'Iltizam at-tabarru' yang disebut di dalam kitab fiqh mazhab Maliki. Sebagaimana, kata Imam Malik: “Dan perkara yang baik (ma'ruf) sesiapa yang mewajibkan (berjanji) untuk ditunaikan olehnya, wajib (lazim) untuknya menunaikannya.

Ia bermakna semua pelanggan perlu memberikan komitmen jika mereka gagal memenuhi janji untuk membuat pembayaran hutangnya kepada bank dalam waktu yang dipersetujui, maka ia berjanji akan bersedekah dan melantik pihak bank untuk mengagihkannya.

Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa institusi perbankan Islam di Malaysia mengambil pandangan ulama yang lebih ringan, iaitu mereka tidak hadkan penggunaan wang ta'widh kepada fakir miskin saja. Justeru, sebahagian bank Islam mengambilnya dan digunakan untuk kegunaan mereka. Perkara ini mungkin disahkan harus oleh majlis penasihat Syariah masing-masing. Justeru, ia selesai dengan ijtihad Majlis Penasihat Syariah masing-masing.

Di kebanyakan bank Islam, Jabatan Syariah dan Majlis Penasihat Syariah yang akan memantau. Malah keputusan majlis berkenaan juga mewajibkan akaun yang diasingkan bagi tujuan itu. Hasilnya, setiap jumlah yang terkumpul daripada ta'widh akan terus masuk ke akaun khas seperti bagi tujuan sumbangan sebagai contohnya. Ia pula tidak boleh disalurkan kepada sumbangan kecuali selepas disahkan layak oleh majlis penasihat Syariah. Ini bagi mengelakkan berlakunya pilih kasih dan kronisme dalam pembahagian.

Kesimpulannya, isu ini dibawa ke persidangan ilmuan Syariah di peringkat Malaysia khususnya Bank Negara Malaysia. Hasilnya keputusannya menyebut, bagi menyekat kecuaian sengaja itu, maka diharuskan mengenakan denda ta'widh dengan syarat ia adalah kerugian sebenar yang ditanggung oleh pembiaya. Penentuan kadar rugi ini akan ditentukan oleh Bank Negara Malaysia. Selain itu kadarnya adalah satu peratus saja dan ia tidak bersifat gabungan. Dan jauh lebih rendah berbanding kadar denda yang dikenakan oleh bank konvensional.

Pembaca perlu faham bahawa penalti yang dikenakan oleh bank konvensional adalah gabungan iaitu penalti itu akan dimasukkan ke dalam jumlah pinjaman dan jika penalti dikenakan lagi, maka peratusan penalti akan disandarkan kepada jumlah pinjaman asal yang ditambahkan dengan penalti. Ia amat pedih dan perit serta zalim dan menindas

sumber : myMetro

Wednesday, November 24, 2010

RUGI KE KALAU BELI EMAS??

Alhamdulillah semenjak sy buka blog ni, ramai yg bertanya n minat dgn pelaburan emas. Bagus la kalau gitu. Maknanya mesej yg sy nak sampaikan dapat diterima umum.

Jika kita bertanya pd org ramai pasal emas, semua setuju yg emas mempunyai 'harga'. Tak kira emas jenis apa. 850, 916, 999, barang kemas dan lain2, masing2 ada nilai interistiknya yg tersendiri. TETAPI ramai yg takut nak beli emas pasal takut aset diorng jadi aset beku.

Sebenarnya lagi mudah utk kita lindungi aset dan harta kita dgn cara membeli emas berbanding ngan kita simpan duit kita kat dlm bank. Bila kita beli emas, secara tak langsung kita akan terkene 'tempias' drp kenaikan nilai emas setiap tahun lebih kurang 20%-30%. Kamu org semua boleh tgk sejarah kenaikan harga emas dari tahun2 lepas kat http://www.kitco.com/ Dlm web tu ada data pasal harga emas thn2 sebelum ni sampai sekarang.



Ok senang kata camni la. Sy nak kasi 1 contoh situasi utk kamu org semua pikirkan. Katakan la last year dr awal thn kita letak RM5000 kat dlm ASB (ni contoh je) ok cukup thn ngan dividen 8% duit kita jadi RM5400, btul? Tapi kalau duit RM5000 tu kita beli emas last year, ngan kadar kenaikan harga emas sebanyak 24.4% (sumber dr kitco), nilai emas kita akan jadi dari RM5000 kepada RM6220. Haa amacam? kat situ je da untung kat 1.2k berbanding ngan duit yg kita simpan kat ASB, untung 1k pun tak sampai =p

Ini baru contoh setahun. Cuba kalau utk tempoh yg lagi panjang. Contohnya kita target simpan emas utk masa depan. Maksud sy utk kita kawen ke, utk education anak2, utk modal rolling bisnes ke dan lain2. Haa ada nampak ke tak? Kalau blum nampak takpe. Next time sy nak share pasal inflasi pulak. 1 bende yg kita tak dapat nak elak pasal sistem kapitalis (interest) dan krisis ekonomi.


Tuesday, November 23, 2010

ERTI ZAKAT

Owkey skang jom kita tgk apa yg dimaksudkan dgn ZAKAT

DARI SEGI BAHASA
Zakat dari segi bahasa bererti “BERSIH”, “SUCI”, “SUBUR”, “BERKAT” dan “BERKEMBANG”
Pengertian “BERSIH” dan “SUCI” dalam istilah zakat ialah membersihkan harta dan membersihkan diri orang kaya daripada bersifat kedekut dan bakhil. Dalam erti yang lain ialah membersihkan diri daripada sifat dengki dan dendam terhadap orang kaya.

DARI SEGI SYARAK
Zakat dari segi syarak pula ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak

HIKMAH DISYARIATKAN ZAKAT
Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang kelima. Antara hikmah dan tujuan ALLAH SWT mensyariatkan zakat ialah:
  • Mengagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada.
  • Membersihkan diri pembayar zakat.
  • Membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat.
  • Mewujudkan sifat bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT di kalangan golongan yang berada.
  • Mengurangkan perasaan irihati di kalangan yang kurang bernasib baik.
  • Mewujudkan perhubungan antara hamba dengan ALLAH SWT di samping perhubungan antara manusia dengan manusia.
  • Memberi peluang kepada golongan hartawan untuk beribadat dalam bentuk mengeluarkan zakat daripada harta mereka.
  • Mewujudkan kesatuan di kalangan masyarakat Islam dalam urusan ekonomi dan kewangan.
  • Memberi masyarakat satu cara mengurus ekonomi dan kewangan yang diredhai oleh ALLAH SWT.
  • Melahirkan rasa tenang dan tenteram dalam hati dan jiwa pembayar zakat.
SIAPA YANG WAJIB ?
Setiap individu yang ingin membayar zakat harus di ambil kira syarat wajib zakat yang perlu difahami dan dipenuhi sebelum membuat taksiran. Syarat-syarat tersebut ialah:
  • Islam
    Zakat hanya dikenakan kepada orang-orang Islam  sahaja.
  • Merdeka
    Syarat ini tetap dikekalkan sebagai salah satu syarat wajib.
  • Sempurna Milik
    Harta yang hendak dizakat hendaklah dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh orang Islam yang merdeka. Bagi harta yang berkongsi antara orang Islam dengan orang bukan Islam, hanya bahagian orang Islam sahaja yang diambil kira di dalam pengiraan zakat.
  • Hasil Usaha Yang Baik Sebagai Sumber Zakat
    Para Fuqaha’ merangkumi semua pendapatan dan penggajian sebagai “Mal Mustafad” iaitu perolehan baru yang termasuk dalam taksiran sumber harta yang dikenakan zakat.
  • Cukup Nisab
    Nisab adalah paras minimum yang menentukan sesuatu harta itu wajib dikeluarkan atau tidak. Nisab menggunakan nilai emas harga semasa iaitu 20 misqal emas bersamaan 85 gram emas atau 196 gram perak.
  • Cukup Haul
    Bermaksud genap setahun iaitu selama 354 hari mengikut tahun Hijrah atau 365 hari mengikut tahun Masihi. Dalam zakat pendapatan, jangkamasa setahun merupakan jangkamasa mempersatukan hasil-hasil pendapatan untuk pengiraan zakat pendapatan.
APAKAH HARTA YANG WAJIB DIZAKATKAN ?

Ada 2 jenis zakat iaitu:
  • Zakat Fitrah
    Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan  syarat-syarat  yang ditetapkan.
  • Zakat Harta
    Jenis-jenis harta yang dikenakan zakat adalah seperti berikut:
·         Zakat Pendapatan
·         Zakat Perniagaan
·         Zakat Binatang Ternakan
·         Zakat Pertanian
·         Zakat Wang Simpanan
·         Zakat Emas dan Perak
·         Zakat Saham
·         Zakat Ma’adin, Kunuz dan Rikaz *
***
Ma’adin
Ialah segala galian yang diperolehi dari perut bumi sama ada beku atau cair di darat atau di laut.
Kunuz
Ialah harta yang tersimpan di dalam bumi (harta karun).
Rikaz
Ialah harta benda yang tersimpan di dalam bumi dan terdapat tanda-tanda yang menunjukkan ia tersimpan sebelum kedatangan Islam. (Jumhur ulama mengatakan semua jenis simpanan jahiliah)

Sunday, November 21, 2010

SIMPAN DINAR EMAS

Sebenarnya banyak perkara yang perlu kita ketahui disebalik Dinar Emas ni. Sebelum tu, sedikit mengenai sejarah Dinar Emas:

Perkataan " Dinar" bukanlah berasal dari bahasa Arab, tetapi berasal dari bahasa Yunani dan Latin atau mungkin merupakan kata lain dari bahasa Aramaic-Persia "Denarius". Sementara itu, Dirham diambil dari wang perak "Drahms", yang digunakan orang-orang Sassan di Persia. Drahms telah diambil dari nama wang perak "Drachma" yang digunakan oleh orang-orang Yunani. Dinar sebagai mata wang Islam telah mulai digunakan sejak masa Rasulullah SAW hingga runtuhnya khalifah terakhir di masa Dinasti Uthmaniyah.

 

 

Dinar Emas Persian Yazdgard I (399 – 420 AD)

 
Khalifah Umar Ibnu Khatab r.a telah menetapkan piawaian bahawa 10 dirham bersamaan 7 dinar dan ini kekal digunapakai sehingga kini. Satu dinar mempunyai 91.6% atau 22 karat seberat 4.25 gram manakala dirham ialah syiling perak seberat 2.975 gram. Di bawah pemerintahan Khalifah Abdul Malik ibn Marwan (646AD-705AD), beliau telah menyeragamkan penggunaan dinar dan dirham.



Dinar Emas Abd al-Malik ibn Marwan

Kepentingan Dinar Emas dalam Ekonomi Islam
  • Oleh kerana Dinar adalah emas, maka nilainya begitu kukuh dan tahan inflasi. Zaman Rasulullah SAW, 1 Dinar bersamaan nilai seekor kambing dan sekarang pun nilai 1Dinar masih bersamaan seekor kambing. Dah lebih 1400 tahun pun masih tak berubah.
  • Justeru nilai Dinar tidak berubah, maka tindakan spekulatif di pasaran wang antarabangsa tidak akan terjadi. Di samping tidak dipengaruhi oleh kadar inflasi, Dinar juga tidak dipengaruhi oleh kadar bunga. Dengan lain perkataan, Dinar adalah wang bebas riba. Kestabilan Dinar juga akan mempromosikan perdagangan dan menstabilkan sistem kewangan antarabangsa. (Shabri, M., 2006)
  • Melihat pentingnya peranan Dinar dan Dirham dalam menstabilkan sekaligus memulihkan ekonomi umat, maka fiat money (wang kertas) dianggap sebagai musuh utama ekonomi Islam. Tanpa menggantikan fiat money dengan Dinar dan Dirham, institusi-institusi kewangan Islam seperti bank Islam, insurans Islam (takaful), bond Islam (sukuk), dan pajak gadai Islam (ar-Rahn) tidak akan dapat dioperasikan 100% murni berteraskan al-Qur'an. Operasi institusi kewangan Islam tanpa kehadiran Dinar dan Dirham sangat sukar dibebaskan dari praktik-praktik riba, gharar, dan maysir. (Shabri, M., 2006)
  • Bagaimanapun, semua pakar ekonomi Islam kontemporari yang mengkaji tentang usaha pendaulatan Dinar dan Dirham sebagai matawang tunggal dunia Islam bersetuju agar ianya didaulatkan secara berperingkat-peringkat. (Meera, A.K.M dan Aziz, H., 2002)
Hadits berkaitan suruhan menyimpan dinar & dirham:
Abu Bakar Ibn Abi Maryam melaporkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW telah bersabda "Akan tiba suatu zaman di mana tiada apa yang bernilai dan boleh digunakan oleh umat manusia. Maka simpanlah dinar dan dirham (untuk digunakan). Musnad Imam Ahmad Ibn Hanbal.
Rujukan:
M. Shabri Abd. Majid, (2006) Analisis Terhadap Usaha Mendaulatkan Dinar dan Dirham Sebagai Mata Wang Alternatif Dunia Islam. Jurnal Syariah, 14 (2). pp. 49-71. ISSN 0128 - 6730.
 
sumber: EMAS DAN PERAK PERHIASAN AHLI SYURGA

WANG KERTAS = "FIAT MONEY"

Hari ini kalau ada yang berazam untuk tidak mahu menggunakan wang kertas ,orang berkenaan ‘wajib’ berpindah ke dalam hutan. Begitu sekali sekeping wang kertas bergelar ‘not’ menguasai seluruh kehidupan manusia.

“ Apa itu wang kertas?” wacana tentang riba dan wang emas tidak mungkin lengkap kalau tidak menyentuh soal wang kertas kerana kedua-dua matawang ini dan riba ada hubung kaitnya dari segi sejarah.


Sejarah mencatatkan bahawa antara wang yang paling awal muncul di dunia ini adalah wang emas yang digunakan pada empayar Rom di Eropah, berkurun lama sebelum kedatangan Islam di bumi Arab. Wang emas terus digunakan oleh dunia Islam dan bahagian-bahagian dunia yang lain setelah keadatangan Nabi Muhammad s.a.w. Kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-14 Masehi juga menggunakan wang emas.

Namun, penggunaannya berakhir pada 1924 berikut runtuhnya kerajaan Khalifah Islamiah terakhir iaitu Khalifah Uthmaniah yang berpusat di Istanbul, Turki. Selepas itu, dunia beralih kepada wang kertas yang bersandarkan emas.

Namun, sejarah wang kertas diwarnai misteri, tipu daya dan pembelitan yang dahsyat. Warga Amerika Syarikat, G Edward Griffin dalam buku The Creature From Jekyll Island berkata bahawa titik bermulanya penipuan wang kertas adalah pada 1910. Mesyuarat misteri di pulau Jekyll pada tahun itu membawa kepada penubuhan the Federal Reserve Department (FRD) pada tahun 1913 yang keahliannya bukan di kalangan rakyat atau institusi kerajaan Amerika Syarikat. Sebaliknya dianggotai oleh syarikat milik persendirian asing. Penggunaan perkataan ‘federal’ (persekutuan) ke atas sesuatu yang berbentuk persendirian adalah pembohongan yang nyata. Kongres Amerika Syarikat pula terpaksa meluluskannya secara curi-curi.

Jabatan ini kemudiannya mentadbir segala urusan kewangan Negara Amerika Syarikat., antaranya mencetak wang kertas Dolar Amerika dan memperkenalkan Fractional Reserve Bangking (FRB) atau Fractional Reserve Requirement (FRR) yang menjadi asas perjalanan sesebuah bank. Sehingga hari ini, FRB digunakakn oleh industri perbankan di seluruh dunia termasuk Malaysia untuk mencipta wang sesuka hati dalam jumlah yang berlipat kali ganda melebihi kekayaan sebenar.


Berikutan penubuhan FRD, banyak peristiwa besar berlaku sehingga membolehkan British mengusai Bandar Jerusalem pada 1919. Penguasaan itu menandakan berakhirnya era Perang Salib yang berlangsung selama 250 tahun antara umat Islam dan Kristian. Dunia pun berubah dengan mendadak. Kemuncaknya ialah kejatuhan Kerajaan Khalifah Uthmaniah.

Peristiwa demi peristiwa terus mengejutkan dunia, antaranya Perang Dunia Pertama dan krisis ekonomi dunia besar-besaran pada 1929. Pada 1944, muncul pula perjanjian Bretton Woods yang melibatkan 44 buah Negara dunia yang bersetuju untuk menyandarkan mata wang kertas masing-masing kepada Dolar Amerika dengan jaminan bahawa USD35 bersamaan dengan satu auns emas.

Negara-negara dunia tidak lagi menyandarkan mata wang kertas kepada rizab emas masing-masing seperti sebelum ini. Setahun selepas Dolar Amerika mendapat ‘daulat’ berkenaan, International Monetory Fund (IMF) pun ditubuhkan. Pada 1948, Negara Israel mendapat pengiktirafan sebagai sebuah Negara berdaulat di tengah-tengah Negara Palestin yang sah.

Seterusnya pada 1971, kerajaan Amerika Syarikat pimpinan Ricard Nixon hampir bankrap gara-gara Perang Vietnam dan masalah deficit imbangan pembayaran yang berterusan. Tuntutan rasmi terhadap rizab emas Amerika Syarikat melambung kepada USD32 bilion sedangkan rizab emas yang ada hanya satu pertiga. Keyakinan terhadap Dolar Amerika punah. Berduyun-duyun bank pusat negara lain memeras ugut Amerika Syarikat dengan cara menebus pegangan Dolar Amerika masing-masing. Emas mengalir keluar dari Amerika Syarikat lalu dengan sendirinya meruntuhkan nilai Dolar Amerika.

Namun Amerika licik bertindak dengan memutuskan ikatan antara Dolar Amerika dan emas. Ini bermakna Amerika Syarikat memungkiri perjanjian Bretton Woods dan bertindak secara unilateral untuk menguburkan sistem piawaian emas.

Selepas 15 ogos 1971, dolar tidak lagi bersandarkan kepada emas. Sejak itu, nilai dolar ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran pasaran tukaran wang asing. Kesannya, semua matawang dunia berubah menjadi matawang fiat iaitu matawang yang bernilai sifar. Ini bermakna setiap Negara bebas mencetak wang kertas tanpa perlu bersandarkan kepada apa-apa rizab. Kalau ada pun, ia dalam jumlah yang kecil seperti yang ditetapkan oleh Special Drawing Rights IMF. Bayangkan betapa liciknya permainan ini.

Pun begitu apa jua tipu daya tetap ada kelemahannya seperti mana yang disebut oleh Allah dalam al-Quran, Firmannya :


الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ

فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفً

Maksudnya :

“Orang-orang yang beriman dan berperang di jalan Allah dan orang-orang yang kafir berjalan di jalan thaghut, sebab itu perangi lah kawan-kawan syaitan itu kerana tipu daya syaitan itu adalah lemah.” [surah an-Nisa’, ayat 76]

Sekarang, ‘tabir’ yang melindungi wajah sebenar wang kertas semakin terungkai. Dunia mula mengetahui apa ada di sebalik wang kertas. Wang kertas tidak mempunyai nilai intrinsik seperti mana wang sebenar (contohnya emas, perak, sebakul barangan dan lain-lain).

Nilai yang dicetak di atas wang kertas kini ditentukan oleh kerajaan yang mengeluarkannya dan kuasa pasaran (market forces). Ini bermakna nilainya bergantung kepada permintaan dan manipulasi pihak yang mengeluarkannya. Ia hanya lah ‘janji’ untuk membayar dan pihak yang mengeluarkannya tidak semesti menunaikan ‘janji’ itu. Atas inilah, sebagai contoh, pada wang kertas Ringgit Malaysia yang kita gunakan sekarang, tercetak ayat, “wang kertas ini sah diperlakukan dengan nilai….”.


Wang kertas digelar fiat kerana ia bukan berbentuk komoditi tetapi dikeluarkan oleh pihak tertentu dan dijamin nilainya oleh pihak yang mengeluarkan. Pengertian sebenar disebalik wang kertas ialah sekadar ‘sekeping kertas’ yang diterima pakai untuk semua urusan jual beli. Asas penerimaan kertas ini hanya atas dasar kepercayaan terhadapnya. Kepercayaan semata-mata! Itu sahaja! Sekiranya di suatu masa kelak, semua orang hilang kepercayaan terhadap ‘kertas ini’ lalu ia tidak lagi berguna, sekalipun jumlahnya berguni.

Sejarah membuktikan bahawa dalam peperangan mata wang sesebuah Negara dilanda krisis akan hancur lalu wang kertas dilambakkan seperti bukit di satu tempat dan dimansuhkan dengan cara membakarnya hingga hangus. Di Malaysia, sebahagian besar generasi sebelum merdeka masih lagi mengingati istilah ‘duit pisang’ atau ‘duit Jepun’ yang menyaksikan berguni duit kertas tidak mampu untuk membeli secawan beras. Ungkapan ‘duit tak laku’ bukan lah sesuatu yang asing buat orang lama yang pernah melalui pengalaman buruk itu.


Selain wang kertas, wang fiat juga merujuk kepada wang dalam bentuk angka dalam akaun, hutang-hutang yang dikeluarkan oleh bank atau institusi kewangan dan kad plastic digital. Wang ini tidak disokong oleh apa-apa aset yang nyata. Nilainya mudah dimainkan oleh speculator matawang yang berniat jahat, tamak dan tidak berperikemanusian.

Krisis ekonomi Asia pada 1997 adalah contoh yang paling dekat dengan kita. Spekulasi dan manipulasi menyebabkan berlaku susut nilai matawang atau lebih buruk, matawang itu langsung tidak bernilai. Keadaan yang dinamakan ‘money meltdown’ ini sudah pun berlaku dalam tahun-tahun kebelakangan (kejatuhan Dolar Amerika pada 1973 dan 1980). Keadaan ini pasti akan berulang. Krisis ekonomi dunia diramal menjadi lebih teruk berbanding pada tahun 1929.

Sistem ekonomi kapitalis, bank dan institusi kewangan dengan cara tidak bertanggungjawab telah mencipta wang fiat dengan banyak di pasaran sehingga menyebabkan inflasi. Wang itu dicipta melalui kepelbagaian deposit, memberi hutang dan mengenakan faedah. Setiap wang fiat yang didepositkan ke dalam bank akan mencambahkan tiga wang fiat lagi yang boleh diberikan kepada individu dan syarikat perniagaan. Ekonomi ini adalah ekonomi palsu yang tidak berasaskan kepada pengeluaran sebenar.

Sesetengah kerajaan mencetak wang sewenang-wenang tanpa bersandarkan kepada pengeluaran sebenar dalam Negara bagi kepentingan pemerintah dan pengekalan kuasa.

Apabila semakin banyak wang dicetak, nilai wang fiat akan berkurangan dan menyebabkan inflasi. Kuasa beli rakyat pula akan berkurangan. Satu wang fiat tidak memungkinkan kita membeli barangan yang sama kita beli seperti sepuluh tahun yang lalu. Ini menjadikan nilai wang kertas fiat hanya terletak pada barangan yang kita beli hari ini. Sebagai contoh, tiga puluh tahun lalu, seseorang yang bergaji RM 1000 sebulan mampu memiliki kereta import berjenama dan sebuah banglo. Hari ini, gaji sebanyak RM 20 000 sebulan belum tentu menjanjikan kereta import dan banglo. Harga barangan menjadi terlalu tinggi iaitu meningkat berkali ganda berbanding peningkatan dalam pendapatan.

Orang sekarang berkerja siang dan malam serta melakukan bermacam-macam jenis pekerjaan, tetapi masih berada di dalam keadaan kekurangan. Harta pada hakikatnya dimiliki oleh bank atau institusi kewangan. Hampir semua orang berhutang dengan bank atau institusi keewangan dan pada bila-bila masa boleh menjadi papa kedana kerana hutang itu. Malah hutang bank juga boleh diwarisi sehingga ke anak cucu.

Kadar pengangguran dan kegagalan syarikat perniagaan pula semakin meningkat dari hari ke hari. Semua ini angkara sistem kewangan fiat yang menyebabkan ekonomi berkembang secara tidak stabil serta mewujudkan jurang besar antara golongan berada dengan golongan tidak berada.

Jelas wang kertas adalah wang yang tidak adil dan tidak jujur. Apabila Amerika Syarikat meluluskan penubuhan FRD dan Amerika Syarikat mengadakan perjanjian Bretton Woods pada 1944, seluruh ummah sebenarnya sudah ditipu ‘hidup-hidup’. Inilah penipuan terbesar dalam sejarah manusia.


Sumber : Milenia Muslim, Julai.