DI ZAMAN Islam datang menyinari dunia kegelapan masyarakat jahiliah di tanah Arab, banyak amalan yang dilaksanakan mereka dihapuskan oleh Rasulullah SAW bermula daripada kehidupan seharian hinggalah membabitkan hubungan komunikasi dalam masyarakat.
Bagaimanapun, tidak semua amalan jahiliah itu dibuang terus, sebaliknya sebahagiannya diterima Islam namun dengan beberapa pengubahsuaian., sebagai contoh sistem perhambaan, peperangan, penggunaan wang emas dan perak sebagai mata wang, ‘Aqilah' dalam kes bunuh, qur'ah (cabut undi), jualan muzayadah (lelong) dan banyak lagi.
Semua yang disebut di atas diterima pakai oleh Islam tetapi beberapa sekatan dan pindaan dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW agar ia selari dengan kehendak Islam, supaya tidak terlalu asing dan paling utama selesa dilaksanakan oleh manusia seluruhnya.
Bagaimanapun,Pada masa sama banyak juga amalan jahiliah yang dibuang terus dan digantikan dengan satu sistem baru yang murni lagi adil dan ada antaranya pula diubah suai dengan beberapa langkah alternatif. Daripada senarai panjang itu, amalan jahiliah yang diharamkan terus dan disediakan alternatif salah satunya adalah 'riba jahiliah'.
Menurut definisi, riba jahiliah adalah sebarang manfaat atau kadar tambahan yang lebih daripada jumlah pinjaman pokok dikenakan ke atas peminjam akibat kegagalan membayar jumlah pinjaman yang ditetapkan di dalam tempoh dipersetujui.
Hasil daripada kelewatan itu pemberi pinjaman memberikan kata dua iaitu melangsaikan hutang serta merta atau satu kadar bunga akan dikenakan bagi memanjangkan tempoh pembayaran semula. Kadar bunga itu boleh dianggap sebagai denda.
Riba jenis ini amat popular di zaman jahiliah dan berterusan di zaman Rasulullah SAW sehinggalah diharamkan oleh baginda. yang bersabda: “Ketahuilah, semua jenis riba telah dihancurkan, dan riba yang pertama aku hancurkan adalah riba yang bapa saudaraku, Abbas bin Abd Muttalib, semuanya kini telah dihancurkan.” (Riwayat Ibn Hibban, At-Tirmizi) Contoh semasa riba jahiliah yang boleh dilihat adalah:
1. Apabila pelanggan gagal membayar hutangnya kepada bank atau pemberi pinjam pada bulan tertentu seperti tiga bulan berturut-turut, pelanggan dikenakan denda atau penalti sebanyak tiga peratus dari jumlah hutang yang berbaki.
2. Apabila peminjam buku di perpustakaan gagal memulangkan buku pada waktunya, pihak perpustakaan mengenakan denda RM5 setiap hari yang lewat, ini juga satu bentuk riba. Justeru, jangan sesekali lewat memulangkan buku sehingga dikenakan denda riba. Undang-undang ini turut digunakan oleh hampir seluruh perpustakaan di seluruh dunia termasuk di pusat pengajian tinggi Islam yang nyata menunjukkan kurang peka di dalam hukum.
3. Bagi mereka yang dikenakan saman atas kesalahan meletak kenderaan di tempat yang salah, atau lain-lain kesalahan memandu, pihak pemandu diberikan nilai saman mengikut minggu. Contohnya, jika dibayar dalam tempoh 14 hari, nilai saman adalah RM15, jika melebihi 30 hari, nilai saman naik kepada RM40 dan seterusnya. Semua cara kiraan ini tergolong di dalam riba Al-Jahiliyyah.
Disebabkan ini, mungkin akan ada pihak yang keliru dan mempersoalkan cara sesuai untuk mengelakkan peminjam melewatkan pembayaran dan pemulangan buku.
Bagaimanapun, topik ini sudah dibincangkan panjang lebar oleh para ulama sedunia, dan pandangan yang sepakat oleh majoriti ulama sedunia adalah hukuman yang dikenakan bagi pesalah yang sengaja melewatkan pemulangan dan segala jenis hukuman tidak ditentukan dalam bentuk mata wang tetapi lain-lain bentuk. seperti didenda tidak boleh memasuki perpustakaan selama dua bulan, dirampas pasport, disenarai hitam dan sebagainya.
Jika ia membabitkan denda dalam bentuk wang, terdapat beberapa ijtihad di kalangan ulama semasa yang akan disebutkan di bawah.
Jadi, bagaimana pula konsep dalam perbankan Islam? Dalam konsep perbankan Islam, mereka turut mengenakan sejumlah wang sebagai ganti rugi atau denda. Jumlah ini sebenarnya dianggap sebagai bayaran kos rugi (ta'widh atau compensation) yang dihadapi oleh bank akibat pelanggan tidak membayar hutangnya kepada bank dalam waktu yang dijanjikan. Oleh itu, pembaca perlu membezakan bayaran ganti rugi yang dikenakan oleh bank Islam dengan penalti oleh bank konvensional.
Ganti rugi yang dikenakan oleh bank Islam adalah terhasil daripada proses jual beli dengan bayaran ansuran yang dijanjikan pada waktunya. Manakala penalti bank konvensional adalah hasil daripada kontrak pinjaman semata-mata.
Menurut sebahagian ulama seperti Syeikh Mustafa Az-Zarqa, Syeikh Muhammad Sadiq Ad-Dharir, Sheikh Abdullah Mani', Majlis Penasihat Syariah Bank Islam Jordan dan Fatwa Persidangan dallah Al-Barakah, keharusan itu berdasarkan ‘Maslahat Mursalat'.
Jadi, tindakan mengenakan ganti rugi itu adalah harus bagi menyekat orang ramai mempermainkan bank-bank Islam dengan sengaja tidak membayar atau melewatkan bayaran walaupun ketika mempunyai wang. Ia dinamakan 'mumatil' yang disebut oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: "Penangguhan sengaja (daripada membayar hutang) oleh orang yang berkemampuan adalah satu kezaliman.” (Riwayat Al- Bukhari) Manakala, hadis sahih diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasaie, Ibn Hibban pula menyatakan: “Bagi orang berkemampuan dan melewatkan hutang adalah zalim, halal ke atas mereka dihukum.
Kedua-dua hadis itu menunjukkan haram hukumnya melewatkan pembayaran hutang bagi mereka yang ada kemampuan. Malah terdapat riwayat silam yang menunjukkan pemerintah Islam pernah mengurung individu sebegini sehinggalah ia membayar hutangnya. Ringkasnya, hukuman seperti disenarai hitamkan nama, dirampas pasportnya, dirampas hartanya dan dijual untuk menyelesaikan hutang adalah dibenarkan oleh Islam.
Namun, untuk bertindak sedemikian dalam konteks semasa, sudah tentu ada di antaranya yang sesuai, manakala tidak sebahagian lainnya.
Justeru itu, memandangkan lemahnya sifat amanah manusia untuk membayar hutang mereka dan bagi menyekat mudarat besar daripada berlaku kepada bank-bank Islam dan juga pemiutang, apabila bayaran ansuran yang dijanjikan tidak dilangsaikan pada waktunya, maka ta'widh (ganti rugi) akan dikenakan.
Sebahagian ulama mengharuskan jumlah ganti rugi itu dibayar dalam bentuk wang, digunakan oleh bank dengan syarat ia adalah jumlah sebenar kerugian. Jadi, sebarang wang lebih daripada kerugian sebenar tidak boleh digunakan oleh bank-bank Islam. Manakala, sebahagian besar ulama lain berpendapat bahawa ta'widh yang dikenakan oleh bank-bank Islam ini (menurut majoriti ulama sedunia) adalah tidak boleh dimasukkan di dalam pendapatan bank Islam, malah mestilah diagihkan untuk tujuan kebajikan kepada orang miskin dan fakir saja. Bagi beberapa buah bank Islam, mereka lebih cenderung untuk menuruti keputusan majoriti ahli Majlis Kesatuan Fiqh Sedunia. Konsep yang digunakan adalah konsep sedekah duit (ta'widh) kepada fakir miskin adalah dibuat atas konsep 'Iltizam at-tabarru' yang disebut di dalam kitab fiqh mazhab Maliki. Sebagaimana, kata Imam Malik: “Dan perkara yang baik (ma'ruf) sesiapa yang mewajibkan (berjanji) untuk ditunaikan olehnya, wajib (lazim) untuknya menunaikannya.
Ia bermakna semua pelanggan perlu memberikan komitmen jika mereka gagal memenuhi janji untuk membuat pembayaran hutangnya kepada bank dalam waktu yang dipersetujui, maka ia berjanji akan bersedekah dan melantik pihak bank untuk mengagihkannya.
Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa institusi perbankan Islam di Malaysia mengambil pandangan ulama yang lebih ringan, iaitu mereka tidak hadkan penggunaan wang ta'widh kepada fakir miskin saja. Justeru, sebahagian bank Islam mengambilnya dan digunakan untuk kegunaan mereka. Perkara ini mungkin disahkan harus oleh majlis penasihat Syariah masing-masing. Justeru, ia selesai dengan ijtihad Majlis Penasihat Syariah masing-masing.
Di kebanyakan bank Islam, Jabatan Syariah dan Majlis Penasihat Syariah yang akan memantau. Malah keputusan majlis berkenaan juga mewajibkan akaun yang diasingkan bagi tujuan itu. Hasilnya, setiap jumlah yang terkumpul daripada ta'widh akan terus masuk ke akaun khas seperti bagi tujuan sumbangan sebagai contohnya. Ia pula tidak boleh disalurkan kepada sumbangan kecuali selepas disahkan layak oleh majlis penasihat Syariah. Ini bagi mengelakkan berlakunya pilih kasih dan kronisme dalam pembahagian.
Kesimpulannya, isu ini dibawa ke persidangan ilmuan Syariah di peringkat Malaysia khususnya Bank Negara Malaysia. Hasilnya keputusannya menyebut, bagi menyekat kecuaian sengaja itu, maka diharuskan mengenakan denda ta'widh dengan syarat ia adalah kerugian sebenar yang ditanggung oleh pembiaya. Penentuan kadar rugi ini akan ditentukan oleh Bank Negara Malaysia. Selain itu kadarnya adalah satu peratus saja dan ia tidak bersifat gabungan. Dan jauh lebih rendah berbanding kadar denda yang dikenakan oleh bank konvensional.
Pembaca perlu faham bahawa penalti yang dikenakan oleh bank konvensional adalah gabungan iaitu penalti itu akan dimasukkan ke dalam jumlah pinjaman dan jika penalti dikenakan lagi, maka peratusan penalti akan disandarkan kepada jumlah pinjaman asal yang ditambahkan dengan penalti. Ia amat pedih dan perit serta zalim dan menindas
sumber : myMetro
No comments:
Post a Comment